Feb 16, 2009

Perhubungan Berakhir Dengan Kekecewaan

Perhubungan yang bertahan selama beberapa tahun, tetapi berakhir dengan kekecewaan. Pernah atau tidak berlaku dalam hidup korang? Kenapa mesti perkara sebegini berlaku sedangkan kita menunggu dan kita bersikap setia dalam percintaan? Jawapan pada setiap persoalan yang berlaku sebenarnya ada dalam diri korang.

Adakah kerana bosan atau adakah disebabkan perasaan yang pernah hadir telah pudar? Hurm... Ini adalah pendapat pelangi. So, korang nak terima atau tidak, pelangi tidak pernah kisah. Huhu..

Sebenarnya bagi pelangi lah, bosan adalah perkara yang pertama akan datang dalam pendapat pelangi bila kita bercakap soal perhubungan yang telah lama dipupuk. Bosan kerana bersama terlalu lama sehinggakan kita tidak dapat untuk mempunyai masa untuk diri sendiri. Orang sering berkata bila kita sudah mempunyai pasangan, kita harus memberikan 100% komitmen terhadap dirinya sehinggakan kita harus memberitahu setiap rutin kita pada dirinya. Benar, itu sudah menjadi salah satu perkara wajib bila kita bercinta. Tapi tanya diri korang sendiri, apakah setiap rutin yang diberitahu itu adalah jujur dari hati korang? 

Kalau kita nak kaitkan soal bosan dan rutin, memang ada kaitan. Sebab?? Ini adalah sebab pada pendapat pelangi. Bila setiap rutin diberitahu, tapi pasangan masih tidak memahami, bukankah ini susah dan akan merumitkan keadaan?? Contohnya, 'awk, sye ad kje nie.urgent kne anta bsk.mlm nie xleh msg awk sgt.maaf sgt2.' Dah terang-terang kita inginkan masa untuk menyiapkan kerja yang harus dihantar dan mengharapkan seribu pengertian dari dirinya. Tapi mengapa, rajuk dan ketidakpuasan hati yang kita terima? Apakah ayat seperti 'ad kje ke nk lepak dgn kwn?' Seolah-olah tiada kepercayaan yang boleh mereka berikan pada kita.

Itu salah satu pendapat pelangi. Pendapat lain yang pelangi boleh katakan adalah penat melayan karenah dan perangai yang tidak pernah berubah. Betul kata korang, jangan ubah diri korang untuk korang sayang, tapi jika perubahan itu boleh mendatangkan kebaikan dalam perhubungan mengapa tidak korang lakukan perubahan? Maksud pelangi adalah perubahan ke arah kebaikan. Tetapi janganlah sehingga korang menjadi orang lain. 

Hurm... Apa lagi yang korang nak tahu mengenai cinta? Pelangi dapat memberikan nasihat tapi untuk menerimanya atau tidak, terpulang pada korang. Kalau korang perlukan bantuan, tinggalkan pertanyaan korang dalam chat box di sebelah. Insya-Allah, pelangi akan cuba untuk membantu. Tapi, pelangi juga manusia. Mungkin ada yang tidak dapat menerima pandangan pelangi. Sepertimana yang pelangi dah nyatakan tadi, pelangi hanya dapat memberikan pendapat. Terpulang pada korang untuk menerima atau tidak. Pelangi cuba untuk bersikap adil pada lelaki mahupun perempuan. Salam sayang dari pelangi.

Feb 15, 2009

Kejujuran

Kita sering inginkan kejujuran dalam perhubungan, sedangkan kita sendiri tidak mampu untuk bersikap jujur dengan insan yang kita sayangi, itupun jika kita sayangi dia seperti mana dia menyayangi kita. Benar, bukan mudah untuk kita bersikap jujur kerana ada ketikanya kejujuran itu seperti sembilu yang sedang menunggu masa untuk menghiris kecil hati dan perasaan kita. Tapi adakah penipuan akan berterusan tersembunyi kemas dalam genggaman? Benarkah penipuan yang kita lakukan tidak akan terbongkar dan akan sentiasa tersimpan?

Tiada insan yang sempurna dalam alam ciptaanNya, biarpun kita ingin menjadi yang terbaik, yang sempurna di pandangan insan tersayang. Namun jangan sesekali kita mempermainkan kepercayaan yang dia letakkan pada diri kita. Kepercayaan yang diberikan seringkali dipermainkan seolah-olah kepercayaan itu adalah satu permainan yang menyeronokkan.

Kejujuran adalah sesuatu yang sukar untuk kita sematkan dalam perhubungan yang kita bina biarpun hubungan itu telah lama terjalin. Sukar untuk kita bersikap jujur, berkata jujur kerana kita lebih memikirkan mengenai perasaan yang bakal mereka rasakan apabila kita bersikap jujur. Namun harus diingati, kerna penipuan yang kita lakukan apabila terbongkar akan lebih menyakitkan daripada kejujuran yang kita berikan padanya.

Bersikap jujurlah mengenai perasaanmu.
Katakan benci jika benar dia kau benci.
Katakan sayang jika benar dia kau sayang.
Katakan rindu jika benar dia kau rindui.
Katakan hanya persahabatan yang dapat kau berikan jika dia mengharapkan cinta.
Katakan hanya sayang yang dapat kau berikan jika dia mengharapkan cinta.
Katakan cinta jika benar kau inginkan dia dalam hidupmu.

Jangan sesekali menipu hati dan perasaan dalam dirimu seiring dengan hati dan perasaan dalam dirinya.

"Terimalah mereka yang menyayangi dirimu,
Kerna kau akan merasai nikmat disayangi,
Kerna dalam diam tanpa kau sedari,
Kau akan menyayangi dirinya lebih dari segalanya.

Jangan sesekali mengharap,
Pada mereka yang kau sayangi,
Kerna sekiranya mereka tidak ikhlas menerima dirimu,
Kelak kau akan merasai keperitan dalam perhubungan,
Seolah-olah tiada kebahagiaan dalam perhubungan."

Orang yang kita sayang akan meninggalkan kita untuk orang yang menyayangi mereka, tetapi orang yang menyayangi kita akan tetap setia menunggu sehingga pintu hati kita terbuka untuk menerima sayang dan cinta dari pihaknya. 

Sayang dan cinta harus wujud dari dua pihak, barulah sinar kebahagiaan dalam perhubungan akan mekar dan bercambah tanpa kita sedari.

Feb 14, 2009

Seiringkah Cinta dan Rindu

Cinta dan rindu,
Kadang-kadang jadi dua perasaan yang berbeza,
Namun ada ketika,
Kalian menjadi satu,
Tapi mengapa,
Seringkali rindu tidak dihargai,
Dan cinta pula tidak mahu diterima?

Cinta,
Sesuci embun pagi,
Hadirnya ia memberikan sinaran,
Rindu,
Seindah pelangi petang,
Hadirnya ia membawa kebahagian.

Cinta,
Bila dihargai,
Ia menjadi kegembiraan,
Satu harta yang dijanjikan penjagaan yang sempurna,
Namun sering kali,
Penderaan yang diterima,
Oleh cinta yang setia menanti.

Rindu,
Sering hadir dalam diri,
Untuk insan tersayang,
Tapi kerinduan mula terubat,
Bila suara bertiup mesra,
Terngiang di telinga,
Membisikkan kata cinta,
Dari dia yang disayangi.

Kini,
Segalanya berakhir,
Tiada lagi gembira,
Tiada lagi senyum dan tawa,
Tiada lagi cinta dan rindu,
Hanya kerna,
Cinta dan rindu didustai,
Secara diam cinta dilukakan,
Secara diam rindu diduakan.

Cinta dan rindu,
Apakah kalian berdua tidak berharga,
Dalam diri insan yang ingin kalian terangi,
Apakah kehadiran kalian dianggap bebanan,
Hinggakan tidak sanggup lagi untuk ditampung.

Feb 11, 2009

Cinta + Kepercayaan + Sayang

Semaikan benih-benih cinta,
Dalam hati seorang pencinta,
Agar menjadi pohon yang rendang,
Bersama mereka melayari bahagia.

Sematkan kepercayaan dalam diri,
Untuk si dia yang engkau sayangi,
Namun jangan sesekali kau permainkan ia,
Sekali terluka tiada pengubatnya.

Berikan sayang setulus hati,
Supaya dia tahu ketulusan hatimu,
Jangan permainkan perasaan dirinya,
Katakan tidak jika kau benci.

Kalian, bukan mudah untuk kita mengungkapkan sayang dalam diri terhadap orang yang kita sayangi. Biarpun beribu kali kita kuatkan semangat untuk meluahkan kata-kata sayang, tapi kerap kali juga kita biarkan kata-kata itu tersemat kemas di lubuk sanubari. Kita selalu mengharapkan jawapan yang jujur, tapi kita tidak mampu untuk menerima kenyataan. Bukan mudah untuk menerima kekecewaan, tapi sayangnya kita sendiri tanpa sedar mengecewakan orang lain.

Feb 9, 2009

Kemunculan Blog Baru

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Tepat pada jam 2300 bertarikh 09/02/09, muncullah sudah satu blog baru yang setelah sekian lamanya dibaikpulih mengikut pandangan rakan-rakan yang sudi untuk membantu.

Pelangi Khayalan
Di sebalik nama yang diberi pada blog ini, saya sebagai penulis mempunyai cerita menarik mengapa nama ini dipilih dari belasan nama yang telah dicadangkan oleh rakan-rakan. Secantik nama, seindah makna. Setiap nama yang dicadangkan mempunyai makna dan harus punya 'tagline' yang tersendiri.

'Sesuatu yang sukar digapai,
Tetapi ianya ada di sebalik kesamaran kabus,
Hadirnya ia memberi sinaran,
Pada diri insan kesepian' 

Memberikan maksud yang jelas sekiranya 'tagline' ini difahami oleh semua. Pelangi wujud selepas kehadiran hujan yang gerimis membasahi bumi ciptaan Yang Esa. Namun tidak semua insan dapat melihat sinaran yang dibawa oleh pelangi yang indah pada pandangan semua. Begitu jua dengan kebahagiaan yang dikejar oleh setiap insan. Kita sering mengejar kebahagiaan, kerana itulah yang membuatkan kita merasai kehidupan yang penuh dengan tawa. Pelangi hanya wujud di sebalik kesamaran kabus, dan ingatlah, kebahagiaan ada di mana-mana, walaupun pada asalnya kita hanya mampu melihat penderitaan dalam kehidupan.